Tuesday 26 January 2016

KELEBIHAN MENANGIS KERANA ALLAH SWT.

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Jumaat, 12 Rabiul Akhir 1437H  

KELEBIHAN MENANGIS KERANA ALLAH SWT.

Menangis merupakan tabiat semulajadi setiap individu manusia. Sama ada menangis kerana gembira, menangis kerana bersedih atau menangis kerana kecewa.

Namun demikian Pernahkah seumur hidup kita menangis.
1. Menangis ikhlas kerana Allah SWT ?
2. Menangis kerana cintanya kepada Allah SWT ?
3. Menangis kerana takut akan azab Allah SWT ?
4. Menangis kerana dosa-dosa masa lalu kita?
5. Menangis kerana lemahnya iman kita di hadapan Allah SWT?
6. Menangis kerana bergetar hati kita ketika nama Allah SWT disebut?
7. Menangis kerana bergoncangnya jiwa kita ketika mengingatkan amalan-amalan masa lalu kita.

Oleh kerana itu tangisan inilah tangisan keimanan, tangisan keinsafan, tangisan ketulusan hati, tangisan sucinya jiwa, tangisan tidak berdayanya kita. Semua tangisan tersebut semata-mata kerana Allah SWT.

Allah SWT berfirman dalamal-Qur’an surah Al-Anfal ayat 2:

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ إِذَا ذُكِرَ اللّهُ وَجِلَتْ قُلُوبُهُمْ وَإِذَا تُلِيَتْ عَلَيْهِمْ آيَاتُهُ زَادَتْهُمْ إِيمَاناً وَعَلَى رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah mereka yang apabila disebut nama Allah gementarlah hati mereka dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, bertambahlah iman mereka kerananya dan hanya kepada Rabb mereka, mereka bertawakkal.” (QS. Al-Anfal: 2)

Menangis yang disunnahkan dalam Islam, tentu sahaja bukan asal menangis, tapi menangis kerana takut kepada Allah SWT.

Kita takut kepadaNya kerana Allah SWT adalah Zat Yang Maha Kuasa dan Perkasa, sedangkan kita sebagai manusia tidak punya daya upaya melainkan di atas izin dari Allah SWT.

Allah SWT berfirman dalam al-Qur’an surah At-Taubah ayat 82:

فَلْيَضْحَكُوا قَلِيلًا وَلْيَبْكُوا كَثِيرًا جَزَاءً بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ
”Maka hendaklah mereka tertawa sedikit dan banyak menangis, sebagai pembalasan dari apa yang selalu mereka kerjakan.” (QS. At-Taubah: 82).

Dalam ayat yang lain Allah SWT berfirman dalam al-Qur’an surah Al-Isra ayat 109:

وَيَخِرُّونَ لِلْأَذْقَانِ يَبْكُونَ وَيَزِيدُهُمْ خُشُوعًا
” Dan mereka menyungkur atas muka mereka sambil menangis dan mereka bertambah khusyuk.” (Al-Isrâ´: 109)

Tazkirah hari ini, ingin menerangkan sedikit tentang Fadhilat atau Keutamaan Menangis kerana Allah SWT iaitu:

1. Menangis kerana Allah SWT, akan mendapatkan naungan Allah SWT pada hari akhirat kelak yang tidak ada naungan kecuali naunganNya.

Rasulullah SAW bersabda, ”Ada 7 (tujuh) golongan yang akan dinaungi oleh Allah SWT itu bawah naunganNya, pada hari yang tidak ada naungan kecuali naunganNya:
1) Imam (pemimpin) yang adil.
2) pemuda yang tumbuh dalam ibadah kepada RabbNya.
3) seseorang yang hatinya terpaut dengan masjid.
4) dua orang yang saling mencintai kerana Allah.
5) seorang laki-laki yang di pujuk oleh wanita yang memiliki kedudukan lagi berparas cantik, lalu ia berkata: ‘Sesungguhnya aku takut kepada Allah SWT.
6) Seseorang yang bersedekah secara sembunyi sembunyi, sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diinfakkan oleh tangan kanannya,
7) dan Seseorang yang menyendiri untuk mengingat Allah SWT, lalu berlinanglah air matanya.” (HR. Al-Bukhari dan Muslim).

2. Menangis kerana Allah SWT, tidak akan masuk Neraka, bahkan api Neraka tidak akan pernah menyentuhnya.

Rasulullah SAW bersabda:
”Tidak akan masuk ke dalam api neraka seseorang yang menangis kerana takut kepada Allah SWT hingga air susu ibu (yang sudah diminum oleh anaknya) akan kembali ke tempat asalnya.” (HR. at-Tirmidzi).

Dalam hadits yang lain, Rasulullah SAW juga bersabda:
” 2 mata, yang keduanya tidak akan tersentuh api Neraka iaitu:

1) Mata yang menangis kerana takut kepada Allah,
2) Mata yang di malam hari berjaga-jaga pada jalan Allah.” (HR. At-Tirmidzi).

3. Menangis kerana Allah SWT, akan mendapatkan keberuntungan dengan memperoleh kecintaan daripada Allah SWT ke atas mereka.

Rasullullah saw bersabda:
”Tidak ada sesuatu yang lebih dicintai Allah SWT daripada dua titis dan dua bekas: iaitu titisan air mata kerana takut kepada Allah SWT, dan titisan darah yang tumpah di jalan Allah SWT dengan berjihad. Adapun dua bekas: iaitu bekas di jalan Allah SWT, dan bekas dalam menjalankan apa-apa yang difardhukan oleh Allah SWT.” (HR. At-Tirmidzi).

4. Menangis kerana Allah SWT, akan mendapatkan keberuntungan dengan di berikan pohon Thuba di dalam syurga.

Rasulullah SAW bersabda, ” Thuba bagi orang yang dapat mengendalikan lidahnya, orang yang meluaskan rumahnya (untuk menerima tetamu ) dan orang yang menangis kerana kesalahan-kesalahan masa lalunya.” (HR. At-Tirmidzi)

Nabi SAW telah menerangkan pohon Thuba dalam sabdanya:
” Thuba adalah sebuah pohon di syurga sejauh perjalanan seratus tahun. Pakaian penduduk syurga keluar dari tangkai-tangkai kelopak bunganya.” (HR. At-Tirmidzi).

5. Menangis kerana Allah SWT, akan digolongkan sebagai orang-orang yang taat kepada Rasulullah SAW.

Seorang sahabat Rasulullah SAW bertanya kepada beliau: ” Wahai Rasulullah, apakah an-Najaah(keselamatan) itu” Maka beliau bersabda: “Kendalikan lidahmu, hendaknya luaskan rumahmu (menerima tetamu), dan menangislah atas kesalahan-kesalahanmu.” (HR. At-Tirmidzi)

6. Menangis kerana Allah SWT, akan mendapatkan bahagian dalam menteladani akhlak Rasulullah SAW dan para sahabatnya.

Ia akan mendapatkan kenikmatan dan kemuliaan dengannya. Termasuk petunjuk Nabi SAW dan para sahabat beliau RA sepeninggalnya adalah menangis kerana takut kepada Allah SWT.

7. Menangis kerana Allah SWT, akan mendapatkan bahagian dari meneladani akhlak para Nabi yang telah diberikan kenikmatan oleh Allah SWT kepada mereka.

Allah SWT berfirman dalam al-Qur’an surah Maryam ayat 58:

أُولَٰئِكَ الَّذِينَ أَنْعَمَ اللَّهُ عَلَيْهِمْ مِنَ النَّبِيِّينَ مِنْ ذُرِّيَّةِ آدَمَ وَمِمَّنْ حَمَلْنَا مَعَ نُوحٍ وَمِنْ ذُرِّيَّةِ إِبْرَاهِيمَ وَإِسْرَائِيلَ وَمِمَّنْ هَدَيْنَا وَاجْتَبَيْنَا ۚ إِذَا تُتْلَىٰ عَلَيْهِمْ آيَاتُ الرَّحْمَٰنِ خَرُّوا سُجَّدًا وَبُكِيًّا
”Mereka itu adalah orang-orang yang telah diberi nikmat oleh Allah, iaitu para nabi dari keturunan Adam, dan dari orang-orang yang Kami angkat bersama Nuh, dan dari keturunan Ibrahim dan Israil, dan dari orang-orang yang telah Kami beri petunjuk dan telah Kami pilih. Apabila dibacakan ayat-ayat Allah Yang Maha Pemurah kepada mereka, maka mereka menyungkur dengan bersujud dan menangis.” (QS. Maryam : 58).

8. Menangis kerana Allah SWT, keimanannya akan ditambah oleh Allah SWT.
Kita berkeyakinan bahawa keimanan seseorang akan bertambah kuat dengan ketaatan dan akan berkurang dengan maksiat.

Menangis kerana takut kepada Allah SWT merupakan salah satu ketaatan yang paling mulia dan paling dicintai Allah SWT kerana peranannya dalam menambah keimanan seseorang kepada Allah SWT .

9. Menangis kerana Allah SWT, akan dikurniai rezekii oleh Allah SWT dari sesuatu yang tidak disangka-sangka, dan Allah SWT akan memberikan jalan keluar dari setiap kesempitan yang menimpa mereka

Allah SWT berfirman dalam al-Qur’an surah Ath-Thalaaq ayat 23:

وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لاَ يَحْتَسِبُ وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُ إِنَّ اللَّهَ بَالِغُ أَمْرِهِ قَدْ جَعَلَ اللَّهُ لِكُلِّ شَيْءٍ قَدْرًا
” Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan barang siapa yang bertawakal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan (yang dikehendaki)Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.” (QS. Ath-Thalaaq: 23)

10. Menangis kerana Allah SWT, akan dimudahkan urusannya oleh Allah SWT.
Allah SWT berfirman dalam al-Qur’an surah Ath-Thalaaq ayat 4:

وَمَنْ يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَلْ لَهُ مِنْ أَمْرِهِ يُسْرًا …
“… Dan barangsiapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Allah memberikan kepadanya kemudahan dalam urusannya.” (QS. Ath-Thalaaq: 4)

11. Setelah masuk syurga, orang beriman yang menangis kerana Allah SWT di dunia, maka akan saling mengingatkan satu sama lain akan tangisan mereka ketika di akhirat nanti .

Allah SWT berfirman dalam QS. Ath-Thuur ayat 25-28:

وَأَقْبَلَ بَعْضُهُمْ عَلَى بَعْضٍ يَتَسَاءَلُونَ (٢٥)قَالُوا إِنَّا كُنَّا قَبْلُ فِي أَهْلِنَا مُشْفِقِينَ (٢٦)فَمَنَّ اللَّهُ عَلَيْنَا وَوَقَانَا عَذَابَ السَّمُومِ (٢٧)إِنَّا كُنَّا مِنْ قَبْلُ نَدْعُوهُ إِنَّهُ هُوَ الْبَرُّ الرَّحِيمُ (٢٨
“Dan sebahagian mereka menghadap kepada sebahagian yang lain saling bertanya. Mereka berkata: ‘sesungguhnya kami dahulu ketika berada di tengah keluarga kami merasa takut (akan di azab).’ Maka Allah memberikan kurnia kami dan memelihara kami dari azab Neraka. Sesungguhnya kami dahulu menyembahNya. Sesungguhnya Dia-lah yang melimpahkan kebaikan lagi Maha Penyayang.” (QS. Ath-Thuur: 25-28).

Kita sepatutnya merenung kalau kita tidak pernah menangis kerana Allah SWT. Pasti ada yang tak kena pada diri kita. Mungkin hati kita sudah mengeras, mungkin jiwa kita sudah kering, mungkin dosa yang sudah meliputi hati dan fikiran kita.

Oleh kerana itu menangislah sebanyak-banyaknya kerana takut kepada Allah SWT, hal itu menunjukkan jiwa kita masih lembut. Jiwa yang lembut dan sensitif akan dapat menyelamatkan kita. Kerana itu, berusahalah selalu menangis kerana Allah SWT, sehingga Allah SWT redha dan mencintai diri kita di dunia dan akhirat kelak.

Ya Allah jadikan hati-hati kami hati yang lembut, serta permudahkan hati kami untuk sentiasa mengingatiMu. Semoga tangisan yang keluar dari hati dan jiwa kami untuk sentiasa istiqomah di jalanMu, akan menjadikan asbab mudahnya jalan kami untuk menuju syurga Mu. aamiinn Yaa Robbal 'Aalamiin !!!!!

Wallahu A'lam.

Panjang-panjangkan pada sahabat lain walau sepotong ayat walaupun hanya sekilas pandang….

Jazakumullahu khairanjaza’..
Doakan istiqamah serta Sehat wal Afiat.


0 comments:

Post a Comment